Rabu, 3 Disember 2008

Sirih
Sejenis tumbuhan yang terdapat di Malaysia juga di kawasan Tropika Asia, Madagascar, Timur Afrika dan Hindia Barat. Sirih yang terdapat di Semenanjung Malaysia terdiri daripada empat jenis, iaitu sirih Melayu, sirih Cina, sirih Keling dan sirih Udang.

Nama saintifiknya adalah Piper betel Linn dalam keluarga Piperaceae. Nama betel adalah dari bahasa Portugis - betle, berasal sebelumnya dari bahasa Malayalam di negeri Malabar yang disebut vettila. Dalam bahasa Hindi lebih dikenali pan atau paan dan dalam bahasa Sunskrit pula disebut sebagai tambula. Manakala dalam bahasa Sinhala Sri Lanka disebut bulat. Bahasa Thai pula disebut sebagai plu.

Sifat tabii sirih adalah sejenis pepohon yang menjalar dan memanjat pada batang pokok sekelilingnya atau kayu junjung. Bentuk daunnya agak bujur [bujur sirih]. Daun-daun sirih yang subur berukuran antara 8sm. - 12sm. lebar dan 10sm. - 15sm. panjang. Sirih sesuai hidup dengan ditanam di atas tanah gembur yang tidak terlalu lembab dan memerlukan cuaca tropika untuk membiak subur dengan air yang mencukupi.

Sirih Cina mempunyai rasa yang lebih lembut daripada sirih Melayu. Sirih Udang pula mempunyai urat daun di belakangnya yang berwarna merah dan gagangnya juga berwarna merah. Sirih Melayu adalah yang digemari dikalangan pengamal makan sirih dan juga kegunaan di dalam adat resam, dimana sirih ini berdaun lebar dan warnanya hijau pekat. Sementara Sirih Keling pula bersaiz sederhana dan berwarna kehijauan kusam, rasanya yang lebih pedas serta agak keras daunya ketika dimakan.

Tiada ulasan: