Selasa, 11 Mei 2010

Pisang Emas


Saiz buah pisang ini adalah kecil tetapi rasanya lazat berbanding dengan pisang jenis lain. Apabila ianya ranum, buah serta isinya berwarna kuning keemasan . Buah pisang ini mudah lebam dan bertukar menjadi kehitaman. Setiap tandan mempunyai berat antara 7 hingga 9 kilogram, 6 hingga 7 sikat dengan bilangan 100 hingga 150 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini bersaiz 9.0 saentimeter dan lebarnya ialah 3.5 sentimeter. Pokok pisang Emas adalah kecil sahaja.

PANDUAN MENANAM :

Iklim dan tanah:

Keadaan panas dan lembap adalah paling sesuai untuk tanaman pisang. Ia boleh ditanam di atas jenis tanah yang dalam, ringan serta rata. Secara umumnya, suhu optimum antara 25oC-30oC sesuai untuk tanaman pisang. Suhu yang rendah akan memberi kesan yang negatif kepada pertumbuhan batang, daun dan melewatkan kematangan pokok. Jangan tanam di atas tanah yang bertakung air.

Tanah bertekstur lempung berpasir dan keadaan tanah adalah peroi sesuai untuk pisang. Keadaan permukaan tanah yang sesuai hingga beralun iaitu kecerunan kurang 12%. Pisang tidak sesuai ditanam di tanah yang mempunyai halangan terhadap pertumbuhan akar seperti tanah padat, lapisan batu, paras air tinggi, gambut dan lapisan asid.

Untuk pertumbuhan yang baik, pokok pisang sangat memerlukan cahaya yang terbuka. Jika terdapat naungan, pertumbuhan batang palsu akan berlarutan dan pokok bertambah tinggi. Tempoh kematangan juga akan berlarutan dari keadaan biasa.

Suhu yang terlalu tinggi serta pendedahan cahaya yang berpanjangan akan mengakibatkan kelecuran pada buah. Tiupan angin turut mempengaruhi pertumbuhan pokok. Angin yang kuat boleh merosakkan daun dan mematahkan pucuk serta merendahkan mutu hasil buah. Penanaman pisang tidak digalakkan di kawasan yang terdedah kepada tiupan angin melebihi 15 km/jam.