Rabu, 12 November 2008

Patah Tulang




Pokok Patah Tulang adalah sejenis tanaman yang mudah hidup di tanah yang mendapat cahaya matahari atau tempat terbuka yang lapang dan luas. Nama saintifiknya ialah Euphorbia Tirucalli. Pokok ini mempunyai banyak cabang yang mana apabila batangnya dipatahkan, getah putih akan terkeluar. Pelbagai khasiat boleh dihasilkan daripada pokok ini, diantaranya ialah getah pokok ini amat mujarab untuk mengubati luka apabila terpijak kaca atau tertusuk duri. Selain itu, ia juga mampu mengubati sakit-sakit urat dan patah-patah ringan anggota badan.

Dari Keratan Akhbar Mingguan Malaysia

TULANG-TULANG atau TETULANG merupakan tumbuhan herba yang agak pelik bentuknya. Kalau dilihat sekali lalu mungkin pokok yang nama botaninya dipanggil Euphorbia tircalli ini disangka hampir mati, walaupun ia sebenarnya tumbuh segar.
Berbeza dengan kebanyakan tumbuhan lain yang sekurang-kurangnya mempunyai daun, tetulang langsung tidak berdaun apa lagi berbuah.
Keunikan tumbuhan ini turut diakui oleh pegawai dan Pusat Sumber Genetik Tumbuhan.
Menurutnya, bentuk batang dan ranting dahan pokok tetulang adalah panjang dan membulat. Susunan ranting dahannya seolah-olah seperti rangka tulang manusia.

Dari sudut perubatan tradisional Melayu, pokok tetulang ini amat berkhasiat dan berkesan untuk merawat bisul, kesan bengkak dan juga kepatahan tulang.
"Walaupun ia merupakan tumbuhan tanpa daun dan buah, tetapi secara tradisi ia dikatakan mampu merawat bisul, kesan bengkak dan patah," katanya.
Beliau menjelaskan, khasiat tumbuhan ini tertumpu pada cecair getah warna putih yang keluar apabila dipatahkan mana-mana dahannya yang sudah matang.

Tetapi untuk merawat bisul, bengkak atau patah, perlu terlebih dahulu melayurkan ranting dahannya yang segar atas api yang sederhana besar.

"Layurkannya atas api dalam beberapa minit dan bila kepanasannya reda sedikit, tuapkan ranting dahan pokok tetulang ini pada tempat yang terkena bisul, bengkak atau patah tadi.
Kemudian balutlah dengan kain bersih. Amalkan sehingga kesan kesakitannya hilang," katanya

Tiada ulasan: